Beri kami beberapa tahun henti kleptokrasi, kata Anwar

Beri kami beberapa tahun henti kleptokrasi, kata Anwar

Perdana menteri berkata kleptokrasi adalah sistem rasuah tersusun yang bukan hanya dilakukan seorang individu sahaja.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama dengan penjawat awam di Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim merayu orang ramai memberi tempoh “beberapa tahun” kepada kerajaan pimpinannya untuk menghapuskan rasuah dan rompakan sumber negara.

Anwar berkata, kleptokrasi adalah sistem rasuah tersusun yang bukan hanya dilakukan seorang sahaja dengan usaha menghapuskannya giat dilakukan melalui tadbir urus baik.

“Anda mesti memberi kami tempoh beberapa tahun untuk menghapuskan rasuah dan rompakan (sumber negara),” katanya pada perhimpunan bersama penjawat awam.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata penjimatan menerusi usaha itu akan disalurkan semula untuk manfaat rakyat.

Beliau turut kesal kerana Malaysia tidak lagi terkenal dengan masyarakat berbilang budaya atau prestasi ekonomi baik, sebaliknya terkesan dengan skandal 1MDB.

1MDB ialah dana negara ditubuhkan bekas perdana menteri, Najib Razak pada 2009. Kemudian didapati lebih USD4 bilion telah dicuri daripadanya menerusi pendedahan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Pakatan Harapan (PH) yang menjadi pembangkang sebelum ini menggunakan istilah kleptokrasi untuk menggambarkan kerajaan Najib dan melabel beberapa pemimpin sebagai kleptokrat.

Anwar juga berkata, beliau telah meneliti beberapa keputusan dibuat oleh kerajaan terdahulu yang didapati didorong oleh “kecurangan serta nafsu serakah pemimpin”.

Beliau turut mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil tindakan tanpa mengira pesalah atau hubung kait parti politik.

“Peguam negara ambil tindakan pendakwaan supaya menjadi pengajaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.