
Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, Anwar akan menempuh perjuangan sukar dalam usaha memenangi hati orang Melayu, terutamanya apabila Perikatan Nasional (PN) menjadi pilihan berdaya maju bagi sesetengah pihak.
“Bagi menarik undi Melayu, Anwar tiada pilihan selain dilihat sebagai pro-Melayu dan pro-Bumiputera. Jika tidak, orang Melayu akan rasa terpinggir dan itu akan memburukkan kedudukannya,” katanya kepada FMT.
Semalam, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, cabaran terbesar perdana menteri pada PRN akan datang adalah meningkatkan sokongan gabungan itu dalam kalangan orang Melayu.
Bagaimanapun, katanya, mustahil untuk PH menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu, lebih-lebih lagi apabila PH hanya berjaya memperoleh 15% undi Melayu di negeri majoriti Melayu itu pada PRU15.
Jeniri berkata, kebanyakan orang Melayu tidak menyukai Anwar dan PH disebabkan DAP, sebuah parti komponen gabungan itu, yang tercemar imejnya selama ini.
“Beliau perlu ambil lebih banyak risiko, menangani isu melibatkan orang Melayu dan menerajui perjuangan Melayu, jika beliau mahu meraih lebih banyak undi.”
Walaupun pengundi bukan Melayu mungkin tidak teruja dengan perkara ini, katanya, pakatan pemerintah tiada alternatif lain.
“Orang Melayu boleh memilih untuk mengundi PN, tetapi gabungan itu agak konservatif dengan kehadiran PAS,” kata ahli akademik itu.
Biarkan Umno terajui usaha menang undi Melayu
Felo kanan Akademi Nusantara, Azmi Hassan berhujah, bukan terpulang kepada Anwar untuk menarik undi Melayu, sebaliknya Umno, rakan kongsi PH dalam kerajaan perpaduan.
“Perkara paling penting bagi orang Melayu, khususnya di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, adalah sama ada Anwar boleh menjaga kepentingan Melayu dan kesucian Islam sebagai agama rasmi.
“Ini sesuatu yang Umno boleh lakukan,” katanya.
Beliau berkata, peralihan undi Melayu kepada PN pada PRU15 kerana orang Melayu merasakan mereka tidak boleh bersandar kepada Umno yang dibebani konflik dalaman.
“Tetapi sekarang, (Umno) agak stabil dengan perbalahan dalaman yang minimum. Saya rasa ini masa terbaik untuk PH memberikan tanggungjawab kepada Umno untuk meraih undi Melayu,” katanya.
Tidak seperti PH, yang kubu kuatnya di negeri maju dan pusat bandar berbilang budaya dan agama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor, kubu kuat Umno kekal di kawasan nusa teras Melayu di Melaka, Johor, Pahang dan beberapa kawasan di Perak.
Bagaimanapun, berikutan kontroversi dan perbalahan dalaman baru-baru ini, sokongan terhadap parti yang pernah menjadi tulang belakang pentadbiran BN terhakis agak ketara, seperti yang dilihat pada PRU15, apabila Umno mencatatkan prestasi terburuknya.
Pada PRU15, parti itu hanya memenangi 26 kerusi Parlimen berbanding 54 sebelum ini.