Bapa mengaku salah 32 tuduhan rogol, amang seksual anak tiri

Bapa mengaku salah 32 tuduhan rogol, amang seksual anak tiri

Tertuduh berusia 37 tahun melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 16 tahun, antara Januari 2020 hingga 14 Mac lalu.

Tertuduh mengaku salah terhadap 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya, di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mengaku salah terhadap 32 pertuduhan merogol, melakukan amang seksual fizikal, dan seks menggunakan objek terhadap anak tirinya, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 37 tahun membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen Melaka dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Menurut Kosmo, mahkamah kemudian menetapkan tarikh 15 Mei depan sebagai sebutan semula kes bagi menunggu fakta tambahan, seterusnya keputusan hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut 11 kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah merogol anak tirinya berusia 16 tahun dan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan Sabit kesalahan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun.

Tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan dibawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan kerana merogol mangsa sama setelah usianya mencecah 16 tahun.

Bagi lapan kertas pertuduhan yang lain, tertuduh didapati bersalah melakukan seks menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa dan didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.

Tertuduh yang merupakan seorang guru renang turut didapati bersalah atas 12 pertuduhan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berkenaan dan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara 20 tahun serta sebatan.

Kesemua perbuatan terkutuk itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah dalam daerah Jasin, antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan, manakala pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim, dan N Sivashangari.

Kedua-dua pihak pendakwaan bagaimanapun memohon agar jaminan tidak diberikan terhadap tertuduh bagi menjamin keselamatan mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.