Tiada pelan persaraan bukan sebab penyertaan rendah, tentera banyak rancangan, kata Tok Mat

Tiada pelan persaraan bukan sebab penyertaan rendah, tentera banyak rancangan, kata Tok Mat

Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor sebelum ini berkata bukan Bumiputera akan menyertai tentera jika kerajaan menyediakan peluang pekerjaan selepas berkhidmat.

Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata Angkatan Tentera (ATM) tidak pernah menetapkan kuota kaum bagi pengambilan anggotanya.
PETALING JAYA:
Peratusan penyertaan bukan Bumiputera dalam tentera rendah bukan kerana perkhidmatan itu tiada pelan persaraan, tetapi kerja lain dilihat lebih lumayan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Hasan.

Bercakap pada sidang media di Wisma Pertahanan, beliau berkata perkhidmatan itu mempunyai banyak perancangan bagi mempersiap anggota untuk persaraan, antaranya kursus peralihan anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera.

“Mereka nampak ada kerja lain seperti berniaga yang memberikan dan menjanjikan pulangan yang lumayan … jadi ia bukan disebabkan tidak ada pelan persaraan,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu, Mejar Jeneral (B) Khlir Mohd Nor yang Ahli Parlimen Ketereh berkata beliau percaya rakyat terutama golongan bukan Bumiputera akan menyertai angkatan tentera sekiranya kerajaan menyediakan peluang pekerjaan selepas selesai berkhidmat.

“Apabila kamu berhenti, orang tak ambil kamu bekerja, nak berniaga pun tak tahu,” katanya, sambil menambah kebanyakan yang terkesan golongan yang tamat berkhidmat pada usia antara 39 hingga 45 tahun.

Untuk menarik minat, tambahnya, kerajaan harus memastikan kehidupan anggota selepas berkhidmat terjamin dengan menawarkan “peluang kerjaya kedua”, sama ada dengan menyertai pasukan beruniform lain atau tawaran kerja di anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan bahawa angkatan tentera tidak menetapkan kuota kaum bagi pengambilan anggota namun pelbagai perancangan dibuat untuk menarik penyertaan bukan Bumiputera, antaranya mengadakan jerayawara seluruh negara.

“Nampaknya ia amat tidak menggalakkan dan masih rendah. Oleh itu, kami tidak mahu perkara ini berterusan dan berharap kerjaya sebagai anggota tentera akan lebih menarik minat semua kaum,” katanya.

Mengulas isu pembelian meriam mudah gerak (SPH) 155mm, Mohamad berkata walaupun proses perolehan aset itu dibatalkan tetapi senjata berkenaan tetap akan dibeli menerusi tender terbuka.

“Meriam berkenaan diperlukan tentera darat terutama Kor Artileri tetapi proses perolehannya kami batalkan kerana ia dulu melalui runding terus, jadi kami telah buat tender terbuka.

“Pembelian meriam berkenaan selepas ini akan dibuat dengan memastikan ia benar-benar mengikut spesifikasi diperlukan ATM,” katanya.

Perolehan SPH merupakan sebahagian daripada rancangan ATM untuk mempertingkat ketumbukan tentera darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.