Tak pasti kenapa laporan ‘tragedi Double Six’ rahsia, kata Loke

Tak pasti kenapa laporan ‘tragedi Double Six’ rahsia, kata Loke

Menteri pengangkutan juga berkata kerajaan Australia sedia mendedahkan laporan mereka berhubung nahas pesawat pada 1976 itu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata laporan punca nahas berkemungkinan dirahsiakan kerana ia merupakan prosedur standard ketika itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata beliau tidak dapat mengemukakan sebab laporan tragedi Double Six diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) berlanjutan selama 47 tahun.

Katanya, laporan tersebut berkemungkinan dirahsiakan kerana menjadi ‘prosedur standard’ melibatkan laporan seumpama itu pada waktu dulu.

“Saya tidak tahu secara pasti dan tidak dapat memberikan jawapan mengapa (laporan dirahsiakan) bagi pihak kerajaan terdahulu,” katanya kepada pemberita pada sidang media.

Loke berkata, Jemaah Menteri mengambil keputusan mendedahkan laporan terbabit kerana ahli keluarga mangsa yang maut berhak mengetahui fakta di sebalik pesawat terhempas pada 1976, yang mengorbankan ketua menteri Sabah ketika itu, Fuad Stephens dan 10 lain.

Beliau juga berkata, kerajaan Australia bersedia mendedahkan laporan mereka berhubung insiden itu, sambil menyatakan Putrajaya tidak akan membantah.

“Terpulang kepada kerajaan Australia bila akan mendedahkan laporan itu. Sebelum ini, kami berkomunikasi dengan mereka bahawa sebaik sahaja kita mendedahkan laporan kita, bukan isu lagi untuk mendedahkan laporan itu bagi pihak mereka,” katanya.

Dalam insiden, Fuad, yang baru 53 hari mengangkat sumpah menjadi ketua menteri, maut bersama 10 lain, termasuk menteri negeri, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Susulan itu, pengeluar GAF Nomad dari Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan bagi membuktikan nahas bukan disebabkan isu mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, namun laporan penuh tidak didedahkan kepada awam. Sebaliknya, ia diletakkan dalam OSA.

Laporan nyahklasifikasi dikeluarkan Putrajaya, semalam, disediakan bersama oleh Jabatan Penerbangan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Australia.

Laporan itu mendapati tiada bukti sabotaj, kebakaran atau letupan yang menyebabkan berlaku nahas tersebut.

Menurut laporan itu, pesawat diselenggara mengikut jadual dan terbang dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal, kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.