
Jagan malah berharap lebih ramai pesakit dapat diselamatkan dengan tisu dan tulang Manisha.
“Kami tidak tahu siapa penerimanya, apa bangsa atau agama mereka. Apa yang penting adalah pemberian Manisha itu mampu membuatkan keluarga lain tersenyum dan ini cukup menggembirakan kami semua.
“Kami bersyukur beliau memilih menderma organ sebelum meninggalkan kami,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, Manisha memang murah hati dan tidak teragak-agak membantu sesiapa saja yang memerlukan sepanjang hayatnya.
“Saya mahu semua orang menyedari bahawa mendermakan organ memberi kesan jangka panjang dan mampu membahagiakan ahli keluarga anda sendiri, kerana ia dapat mengurangkan kesedihan dalam pada terpaksa ‘melepaskan’ si mati,” katanya.

Dr Faiqah Nastasha Mohamed Sam, penyelaras penderma di Hospital Sungai Buloh berkata, Manisha menderma semua organ dan tisunya, sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia.
“Bagaimanapun, cuma ada tiga penerima segera, iaitu untuk dua ginjal dan hatinya. Kornea dan tulangnya diperoleh dan disimpan bagi kegunaan di masa depan.
“Kornea mempunyai jangka hayat dua minggu, tetapi tulang dapat disimpan selamanya,” katanya kepada FMT.
Beliau mengakui pasukan penderma organ hospital itu sering mengalami perasaan bercampur-baur setiap kali penderma menghembuskan nafas terakhir – rasa sedih melihat kepiluan keluarga penderma, namun pada masa sama, kegembiraan dirasai keluarga penerima.

Usaha 30 jam, 55 kakitangan perubatan
Faiqah yang dibantu jururawat, Zaidiana Yahya sepanjang proses itu berkata, pasukannya bergegas sebaik dimaklumkan Jagan bahawa anaknya yang baru meninggal dunia adalah penderma organ pada 8 pagi 29 Mac lalu.
“Kami menjalani dua ujian untuk mengesahkan beliau mati otak, seterusnya menghantar sampel darah ke makmal, meminta imbasan jabatan radiologi dan memaklumkan pihak berkaitan, termasuk Pusat Sumber Transplan Negara.”
Katanya, Manisha dibawa ke dewan bedah pada 2.30 pagi 30 Mac, di mana pelbagai pasukan sudah menanti. Pada masa sama, pasukan pemindahan hati Hospital Selayang menantikan organ berkenaan, manakala dua pasukan pemindahan ginjal di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur turut bersedia dengan pesakit yang memerlukan organ terbabit.
Keseluruhan proses perolehan organ selesai selepas 30 jam, iaitu pada 1.30 tengah hari, sebelum keluarga Manisha menuntut mayatnya untuk dikebumikan.
“Seramai 55 kakitangan perubatan dan paramedik terlibat. Sememangnya proses itu meletihkan, namun amat berbaloi melihat kegembiraan keluarga penerima. Kami sangat berterima kasih kepada keluarga Manisha yang terpaksa menunggu lama dalam pada mereka berdepan keperitan kehilangan insan tersayang.”
Tak ramai derma organ

Faiqah berkata, bilangan penderma organ masih rendah berbanding keperluan di negara ini, walaupun proses itu kini dipermudahkan menerusi aplikasi MySejahtera.
Sebagai contoh, katanya, seramai 10,000 pesakit di negara ini menantikan pemindahan buah pinggang, manakala ribuan lagi menantikan organ serta tisu lain.
“Tahun lalu, 45 penderma yang meninggal dunia mendermakan organ dan tisu. Di Hospital Sungai Buloh, kami cuma melihat dua perolehan organ tahun lalu, manakala Manisha adalah penderma ketiga kami tahun ini.
“Sudah lama kami tidak mendapat penderma yang mendermakan pelbagai organ dan tisu seperti Manisha. Beliau begitu murah hati dalam membantu orang lain.”
Beliau berkata, mereka yang mahu menderma organ dan tisu perlu memaklumkan ahli keluarga supaya pihak berkuasa dapat memperolehnya secepat mungkin selepas mereka meninggal dunia.