PAS mohon batal saman Mujahid atas dakwaan sokong LGBT

PAS mohon batal saman Mujahid atas dakwaan sokong LGBT

Permohonan itu dibuat PAS atas alasan naib presiden Amanah gagal mendedahkan kausa tindakan munasabah terhadap parti berkenaan.

Mujahid Yusof Rawa berkata kenyataan fitnah PAS menyebabkannya mengalami tekanan perasaan selain merosakkan perwatakan, nilai moral, pegangan agama, keupayaan dan kredibiliti sebagai bekas menteri agama.
KUALA LUMPUR:
PAS memohon untuk membatalkan saman fitnah difailkan Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa terhadap parti itu atas dakwaan beliau menyokong budaya songsang LGBT.

PAS yang diwakili Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan, memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Tengku Amalin & Faizi di Mahkamah Tinggi pada 15 Feb lalu.

Permohonan itu dibuat atas alasan Mujahid selaku plaintif, gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan munasabah terhadap parti berkenaan.

Peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mujahid ketika dihubungi berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 21 Jun ini.

Mujahid memfailkan saman itu pada 15 Dis lalu mendakwa defendan (PAS) pada 16 Okt 2022, dengan niat jahat menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya dengan membuat atau menerbitkan kenyataan fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Mujahid berkata, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau membenarkan, menyokong atau menerima masyarakat, khususnya beragama Islam terlibat aktiviti LGBT dan perzinaan.

Katanya, kenyataan fitnah itu menyebabkannya mengalami tekanan perasaan, selain merosakkan perwatakan, nilai moral, pegangan agama, keupayaan dan kredibiliti plaintif sebagai bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (agama).

Sehubungan itu, beliau memohon perintah supaya PAS menarik balik serta memadam kenyataan fitnah dan gambar plaintif itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman, selain menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

Menerusi pernyataan pembelaan, PAS mendakwa pernyataan tuntutan plaintif cacat dan tidak sah kerana plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan yang mempunyai kawalan serta melakukan penerbitan bagi artikel itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.