
Dalam dialog bersama pelajar UiTM Jumaat lalu, Anwar berkata, tiada lagi keperluan melakukan bantahan atau demonstrasi sekarang kerana keadaan berbeza berbanding ketika beliau menjadi pelajar pada era 1970-an dan 1980-an disebabkan ketika itu tiada platform untuk pelajar menyuarakan rasa tidak puas hati.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Pergerakan Pelajar Baharu (Nesa), Koh Xiang Lin memberitahu FMT, KeAdilan yang ditubuhkan Anwar sebelum menjadi PKR, menggunakan protes jalanan dan jerayawara untuk mempromosi agendanya.
“Demonstrasi membantu Keadilan dan Anwar meraih sokongan. Adakah beliau mengatakan parti dan kaedahnya ketika itu salah?” soalnya.
Beliau berkata, demonstrasi kekal sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi, manakala undang-undang yang mengehadkan kebebasan bersuara, terutama pendapat berbeza, perlu disingkirkan.
“Bantahan, tidak kira apa jua bentuknya, tiada kaitan dengan era moden atau masa lalu. Ia sekadar hak sivil rakyat, satu daripada cara untuk rakyat, termasuk pelajar menyuarakan pandangan atau bantahan,” katanya.
Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Oh Ei Sun melihat pendirian Anwar berubah berhubung demonstrasi pelajar sebagai perkara biasa bagi mereka yang memegang kuasa dalam kerajaan.
“Anwar bukan ahli politik pertama mahupun terakhir mengubah pendirian politiknya selepas membentuk atau menyertai kerajaan. Seseorang pasti tidak mahu berdepan tentangan dalam menggubal dan melaksanakan dasar,” katanya.
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz mengingatkan Anwar bahawa universiti tetap menjadi ruang untuk perbincangan terbuka, termasuk yang berbentuk tentangan, selagi tidak menyentuh isu kaum, agama atau institusi diraja.
Katanya, lebih sesuai jika kerajaan menghapuskan undang-undang dan peraturan yang menghalang pelajar daripada bersuara secara bebas, bukannya menyalahkan penganjur bantahan atau perbincangan sedemikian.
“Perdana menteri orang terbaik yang mampu memahami perkara ini. Beliau mengalami halangan tidak adil dalam mengadakan dialog di universiti pada masa lalu. Kini, kita perlu membebaskan universiti dan pelajar,” katanya.
Minggu lalu, Anwar menjawab soalan mengenai demonstrasi jalanan dan bantahan dengan berkata, pelajar hari ini perlu berfikiran kreatif dan tidak semestinya menggunakan kaedah sama seperti dahulu.
Katanya, golongan muda boleh menyuarakan bantahan, asalkan mematuhi peraturan dan mengelak mempromosikan fahaman ekstremis.
Beliau yang mempersoalkan keperluan mengadakan demonstrasi jalanan dan bantahan, mencadangkan pelajar mempunyai masalah berkait kementerian tertentu perlu memaklumkan menteri terlibat kerana arahan daripada Putrajaya adalah untuk memberikan pelajar peluang menyuarakan pandangan mereka.