Ibu terkejut permohonan warganegara anak ‘dah lama’ ditolak

Ibu terkejut permohonan warganegara anak ‘dah lama’ ditolak

Family Frontiers berkata, tiga keluarga baru-baru ini mengetahui permohonan mereka ditolak pada 2019 dan 2020.

Sebahagian ibu, penyokong dan wakil Family Frontiers di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendengar permohonan kerakyatan anak dilahirkan di luar negara.
PETALING JAYA:
Tiga ibu warga Malaysia yang sedang memperjuangkan kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara terkejut apabila baru-baru ini, dimaklumkan permohonan mereka ditolak sejak empat tahun lalu, menurut satu NGO.

Family Frontiers berkata, ibu diwakilinya menerima surat penolakan bulan lalu dan bulan ini, namun dokumen menyatakan keputusan itu telah dibuat pada 2019 dan 2020.

Menurutnya, seorang antara mereka telah membuat permohonan susulan tetapi saban kali dimaklumkan perkara itu “sedang dalam proses”.

“Salah seorang ibu, Headry T, memohon kewarganegaraan anaknya pada November 2015 untuk kali kedua selepas permohonan pertama ditolak. Dia dimaklumkan awal bulan ini permohonannya sekali lagi ditolak dan keputusan itu dibuat pada 2019,” katanya dalam kenyataan.

“Dia telah membuat tindakan susulan secara berkala dan menyemak status permohonan melalui telefon, e-mel dan dalam talian, tetapi jawapan biasa diterima ialah permohonan ‘sedang dalam proses’.”

NGO itu berkata, seorang lagi ibu menetap di Thailand mengemukakan permohonannya pada Ogos 2015.

Bagaimanapun, apabila dia pulang dari Bangkok ke Malaysia, baru-baru ini, untuk mengambil surat mengenai keputusan itu, dia mendapat tahu permohonan telah ditolak dan surat itu sebenarnya telah dikeluarkan pada Jun 2020.

Seorang lagi ibu hanya dikenali sebagai Rachel, berkata dia turut menerima surat penolakan bulan ini walaupun keputusan itu telah dibuat pada Jun 2020.

Family Frontiers berkata, kelewatan memaklumkan kepada ibu tentang keputusan itu memberi kesan negatif dan menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak dengan Putrajaya perlu mengambil kira perkara ini.

“Penting untuk proses permohonan kewarganegaraan dibuat lebih cekap, dengan jangka masa munasabah dan alasan untuk membuat sebarang penolakan,”katanya.

Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan automatik kerana Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan kewarganegaraan melalui bapa.

Dalam keputusan berbelah bahagi dan memihak kepada kerajaan, Mahkamah Rayuan memutuskan perkataan “bapa” dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan berkaitannya dalam Jadual Kedua adalah “jelas dan terang” dan tidak boleh ditafsirkan termasuk ibu.

Family Frontiers kemudiannya memfailkan memorandum rayuan di Mahkamah Persekutuan, mengatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf kerana mengambil pendekatan “sempit” dan “pedantic” apabila mentafsir peruntukan dalam Perlembagaan.

Bagaimanapun, Jemaah Menteri bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kerakyatan automatik kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara kepada ibu warga tempatan.

Cadangan pindaan itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.