35 warga asing antara didakwa ceroboh hutan simpan di Sik

35 warga asing antara didakwa ceroboh hutan simpan di Sik

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Feb lalu.

40 individu termasuk 35 warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di Baling atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik. (Gambar Bernama)
BALING:
Seramai 40 individu termasuk 35 warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, pada Januari lalu.

Dua daripada mereka yang merupakan lelaki warga Malaysia berusia 21 dan 54 tahun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Najwa Che Mat atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Sementara itu, tiada pengakuan direkodkan daripada dua lagi lelaki dan seorang wanita warga Malaysia berumur antara 57 dan 60 tahun, berikutan tidak memahami pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dalam bahasa Melayu itu.

Juga tiada pengakuan direkodkan daripada 31 lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga China, dan dua lelaki warga Nepal yang berumur antara 18 hingga 50 tahun, kerana memerlukan jurubahasa membaca pertuduhan itu berikutan mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan itu, semua mereka dituduh memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartment 12, Hutan Simpan Bukit Enggang tanpa memiliki permit memasuki hutan simpanan kekal (Borang 6) antara 9 malam, 31 Jan lepas hingga 3 pagi, 1 Feb lalu.

Mereka didakwa mengikut subseksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] yang diterima pakai oleh Negeri Kedah di bawah Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 47 (4) enakmen yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah membenarkan lima warga Malaysia itu diikat jamin masing-masing RM5,000 dengan seorang penjamin.

Dua lelaki warga China pula dibenarkan ikat jamin masing-masing RM7,000 dengan dua penjamin warga Malaysia serta kedua-dua lelaki itu diperintah menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes dan pelantikan jurubahasa.

Sementara itu, 31 warga Myanmar dan dua warga Nepal itu pula tidak ditawarkan sebarang jaminan berikutan sedang menjalani hukuman penjara di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Wan Hazlin Suraya Wan Sharif, Noor Husnita Mohd Radzi dan Naliatul Huzaimi Ab Rasip manakala lima warga Malaysia dan dua warga China itu diwakili Peguam Lee Keng Fatt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.