
Beliau berpandangan tidak adil bantuan khas itu diberikan ketika perayaan tertentu sahaja, memandangkan banyak lagi perayaan disambut masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.
Sebaliknya, katanya kerajaan negeri memutuskan memberi bantuan khas kewangan pada hujung tahun ketika ramai ibu bapa memerlukan wang untuk membeli keperluan sekolah.
“Kita tidak mahu ini menjadi budaya setiap kali kita menyambut perayaan kerana banyak perayaan kita raikan selain Aidilfitri seperti Hari Gawai, Tahun Baharu Cina dan Krismas.
“Kita mesti adil dalam semua perayaan dan mahu masyarakat pelbagai kaum menikmati bantuan itu bersama dan memanfaatkan bantuan untuk perkara lebih penting,” katanya menurut Harian Metro.
Bagaimanapun, Abang Johari berkata, beliau bersama Jemaah Menteri, termasuk pegawai perkhidmatan awam negeri ada mengadakan perbincangan berhubung bantuan khas kewangan sempena Aidilfitri.
“Apa yang kita putuskan ialah, galakkan rakyat berbelanja dengan bijak ketika menyambut perayaan kerana jika kita memberikan bantuan tunai wang itu habis untuk perayaan sahaja.
“Paling penting ialah kita harus memberi keutamaan kepada keperluan persekolahan anak-anak. Sebab itu kerajaan Sarawak memberi bonus setiap hujung tahun kerana dengan cara itu, semua masyarakat akan merasa dan meringankan beban untuk menyediakan keperluan sekolah,” katanya.
Kebiasaannya, kerajaan negeri memberikan satu setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada kakitangan awamnya pada hujung tahun.