Kerajaan lancar laman web khas tuntutan kumpulan Sulu

Kerajaan lancar laman web khas tuntutan kumpulan Sulu

Laman sesawang, Malaysia-Sulu Case, mengandungi pelbagai maklumat perkembangan terkini tuntutan pihak yang mendakwa waris Sultan Sulu.

Azalina Othman Said, diapit Zambry Abd Kadir (kiri) dan Fahmi Fadzil, pada pelancaran laman sesawang, Malaysia-Sulu Case, di Perdana Putra. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan melancarkan laman sesawang, Malaysia-Sulu Case, yang mengandungi pelbagai maklumat dan perkembangan terkini tuntutan kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.

Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, Menteri Luar Negeri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

“Kerajaan, menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Komunikasi dan Digital pada jam 1.40 petang melancarkan laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my.

“Ia sebuah repositori maya bagi semua maklumat berkaitan kes tuntutan pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my adalah satu langkah kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang betul dan sahih.

“Terdapat pelbagai kemusykilan pada ‘fakta-fakta’ kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu. Sehingga kini, tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa penuntut-penuntut ini benar-benar waris kepada Sultan Sulu,” katanya.

Tuntutan Sulu bermula apabila sekumpulan warga Filipina mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu dan menuntut pampasan daripada kerajaan Malaysia pada 2018.

Kumpulan itu juga menuntut aset Malaysia di luar negara menerusi tuntutan di mahkamah timbang tara.

Semalam, kerajaan menyenaraikan seorang lelaki yang mengaku waris Sultan Sulu dikenali Fuad A Kiram sebagai pengganas.

Laman sesawang rasmi tersebut boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan Tagalog bagi membolehkan pelbagai pihak serta media antarabangsa mengikuti dan memahami kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.