
Menterinya Loke Siew Fook berkata, nyahklasifikasi laporan itu selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.
Laporan itu boleh diperoleh di www.mot.gov.my.
Pada 5 April lalu, FMT melaporkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai “tragedi Double Six”.
Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai ketua menteri meninggal dunia bersama 10 yang lain termasuk menteri negeri apabila pesawat GAF Nomad dinaiki terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.
Mereka yang maut termasuk menteri negeri Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.
Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.
Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum. Sebaliknya, ia diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi.