
Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, bacaan IPU di lokasi itu ialah 118 pada 10 pagi.
Kualiti udara di daerah itu mula merekodkan paras tidak sihat mulai 6 pagi tadi dan terus meningkat pagi ini.
Setakat 10 pagi tadi, daerah lain yang mencatatkan bacaan IPU tahap sederhana namun menghampiri tahap tidak sihat ialah Cheras (90), Banting (90,) Tanah Merah (91), dan Nilai (96).
Tiga daerah mencatatkan bacaan tahap baik ialah ILP Miri (42), Keningau (49), dan Sri Aman (50).
Mengikut bacaan IPU, 0-50 dikategorikan sebagai baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300), berbahaya (301-400), sangat bahaya (401-500) dan kecemasan (lebih 501).
Pengguna Twitter khususnya di ibu negara turut merungut kualiti udara di beberapa tempat yang berjerebu sehingga mengehadkan penglihatan.
Semalam, Bangkok Post melaporkan kira-kira 1,700 penduduk di bandar Chiang Mai menyaman kerajaan kerana pencemaran udara teruk yang menyelubungi utara Thailand semasa musim menebang dan dan membakar di kawasan ladang.
Dalam tuntutan itu, mereka mendakwa Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dan dua pihak berkuasa negeri tidak mengambil tindakan mencukupi untuk mengekang pembakaran ladang, walaupun amalan itu mengeluarkan asap mengandungi toksik.
Bandar itu menduduki tempat ketiga di belakang Beijing dan New Delhi dalam senarai statistik bandar dengan pencemaran udara paling teruk di dunia.