Jangan buat belian panik, barang keperluan raya cukup, kata menteri

Jangan buat belian panik, barang keperluan raya cukup, kata menteri

Salahuddin Ayub berkata skim kawalan harga sempena Aidilfitri berlangsung 16 hari bermula 15 April.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub (dua, kiri) ketika mengumumkan senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2023. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengguna dinasihatkan tidak melakukan pembelian panik pada musim perayaan ini memandangkan bekalan mencukupi, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri akan berlangsung selama 16 hari, bermula 15 April mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya pada sidang media pengumuman skim itu di kementeriannya.

Ditanya sama ada tempoh 16 hari pelaksanaan skim itu akan dilanjutkan, Salahuddin berkata, pihaknya tidak bercadang melakukannya kerana masa diberikan memadai.

“Saya pun faham mereka beraya sebulan kerana kita memikirkan keseluruhan bekalan rantaian agar semua pihak dapat menang-menang,” katanya.

Sebanyak 30 jenis barangan dikategorikan dalam SHMMP termasuk ayam dan telur ayam, selain daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, aya, selayang, kembung, dan mabung.

Peniaga diingatkan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan seperti diumumkan.

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.