
Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck, berkata anak perempuan kepada pesakit berusia 65 tahun itu telah dihubungi dan mengesahkan bahawa pihak Hospital Lawas dan Hospital Miri tidak pernah menolak untuk merawat ibunya.
“JKN Sarawak ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan kesihatan telah terus diberi kepada pesakit ini tanpa mengira status pendaftaran MyKad dan kewarganegaraan pesakit berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan laporan sebuah portal berita yang mengatakan wanita berkenaan, Lina Samuel menghadapi kesulitan menjalani rawatan sejak MyKadnya dirampas JPN.
Laporan itu turut menyebut MyKad Lina dirampas sewaktu dia hendak menukar alamatnya bagi membolehkannya mengundi pada PRU15 dan pegawai JPN yang bertugas ketika itu memberitahu rampasan itu dibuat atas arahan orang atasan.
Ooi berkata, individu yang dilaporkan dalam portal itu adalah di bawah pemantauan pakar bedah di Hospital Miri yang telah melakukan beberapa prosedur untuk merawatnya antara 15 Feb hingga 20 Mac, selain diberikan janji temu rawatan susulan di klinik pakar hospital itu pada 17 Apr.
“Pesakit berkenaan juga telah mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas pada 1 Apr 2023, di mana beliau menjalani pemeriksaan serta dirujuk kepada pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan dan diberikan rawatan bersesuaian,” tambahnya.