Demi keadilan, keluarga sedia bawa wanita koma ke mahkamah

Demi keadilan, keluarga sedia bawa wanita koma ke mahkamah

Adik mangsa berkata pihak pendakwaan bertanya jika boleh membawa Jahidah Nordin dari Seremban ke mahkamah di Johor bagi perbicaraan.

Jahidah Nordin parah di kepala dan tengkorak, dengan rahang, tulang belakang serta rusuknya retak, disyaki dipukul suaminya pada 4 Mei 2021. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Walaupun situasinya agak rumit, keluarga Jahidah Nordin, 45, sedia membawa wanita koma itu ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan dalam perbicaraan terhadap bekas suami yang didakwa memukulnya dua tahun lalu.

Adiknya, Fauziah Nordin, 41, berkata, pihak timbalan pendakwa raya bertanya jika boleh membawa Jahidah dari Seremban ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi perbicaraan kes itu dalam masa terdekat.

“Kalau boleh, kami memang mahu bawa Kak Jahidah supaya mahkamah boleh lihat apa yang terjadi kepada kakak…juga demi keadilannya,” katanya menurut Harian Metro.

Fauziah berkata, NGO dikenali sebagai Dana Kita menyuarakan kesediaan menyediakan pengangkutan bagi membawa kakaknya ke Johor Bahru.

“Kos untuk menyewa ambulans agak mahal. Pengasas Dana Kita, Mohd Fadli Salleh atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Fadli menghubungi Fazariah memaklumkan akan membantu.

“Kami bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu menyediakan perkhidmatan ambulans, malah mereka bersetuju menguruskan Kak Jahidah sekiranya perlu bermalam.”

Jahidah yang hamil, parah di kepala dan tengkorak, manakala rahang, tulang belakang serta rusuknya retak, disyaki dipukul suaminya di rumah mereka di Larkin pada 4 Mei 2021.

Penjawat awam itu menerima rawatan awal di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.