Pada usia hanya sebulan lebih, Alifa perlu bantuan anda untuk terus hidup

Pada usia hanya sebulan lebih, Alifa perlu bantuan anda untuk terus hidup

Menghidap kecacatan jantung kongenital, Alifa Zea Amanda perlu pembedahan segera, yang dianggarkan menelan belanja RM100,000.

Alifa Zea Amanda perlu segera menjalani pembedahan suis arteri dan penutupan ‘patent ductus arteriosus’. (Gambar Persatuan Kebajikan Amal Da Ai)
PETALING JAYA:
Pada usia hanya sebulan lebih, Alifa Zea Amanda sedang berjuang di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur untuk terus hidup. Dengan tiub terpasang di mulut dan hidungnya, dia berada di unit rawatan rapi neonatal (NICU) sejak lahir dan memerlukan bantuan anda.

Alifa menghidap kecacatan jantung kongenital yang dikenali sebagai transposisi arteri besar, pada asasnya bermaksud dua arteri utama yang meninggalkan jantungnya dalam keadaan terbalik. Oleh itu, dia perlu menjalani pembedahan suis arteri, serta pembedahan penutupan “patent ductus arteriosus”.

Pembedahan kedua itu adalah untuk membaiki keadaan di mana “ductus arteriosus”, bukaan yang menjadi sebahagian daripada sistem aliran darah bayi dalam rahim, tidak tertutup selepas lahir.

Tanpa prosedur ini, Alifa lama-kelamaan tidak akan dapat bertahan kerana dia akan mengalami kegagalan jantung.

Alifa ialah anak sulung kepada Arul dan Mailah, pasangan warga Indonesia berusia lewat 20-an hingga awal 30-an. Seperti kebanyakan ibu bapa baharu, pasangan itu tidak sabar-sabar menanti ketibaan anak perempuan mereka.

Tiada perkara yang tidak diingini berlaku semasa kehamilan atau kelahiran Mailah. Hanya setelah beberapa jam dilahirkan, barulah pakar obstetrik menyedari kulit Alifa menjadi kebiru-biruan dan mengesyaki dia mengalami masalah jantung.

Pasangan itu dinasihatkan membawa Alifa ke hospital pakar untuk pemeriksaan segera. Mereka dimaklumkan bahawa prosedur-prosedur tersebut akan memakan belanja kira-kira RM100,000.

Alifa Zea Amanda berada di NICU sejak lahir. (Gambar Persatuan Kebajikan Amal Da Ai)

Kedua-dua Arul dan Mailah bekerja sebagai tukang cuci dan tidak mampu membayar jumlah itu. Selain tekanan kewangan, mereka bergelut menghadapi pengalaman pahit ini, yang menjejaskan emosi mereka.

Oleh itu, mereka telah cuba mendapatkan bantuan daripada Persatuan Kebajikan Amal Da Ai, sebuah NGO bertujuan membantu individu kurang upaya dan berkeperluan khas, serta keluarga yang melalui masa sukar, melalui kutipan dana awam dan cara lain.

Kakitangan Da Ai yang mengendalikan kes ini, Yumi Hwang memberitahu FMT, organisasi itu masih belum mengira jumlah yang telah mereka terima setakat ini.

“Sementara Alifa menunggu pembedahan di NICU, kami harap semua orang dapat bersama-sama membantu menyelamatkan nyawanya.

“Kami juga harap Alifa dapat menjalani kehidupan yang sihat dan bahagia seperti kanak-kanak normal,” kata Hwang.

Menurutnya, Arul dan Mailah menetap di Lembah Klang, namun tidak mempunyai saudara mara di negara ini yang boleh membantu.

“Kami harap anak kami boleh jalani pembedahan, tetapi kami tiada wang,” kata Mailah dalam video yang dikongsi oleh Da Ai.

“Wajahnya sudah kebiru-biruan. Jika (Alifa) tidak jalani pembedahan segera, menurut doktor, dia mungkin akan meninggal dunia.”

“Saya harap ada orang yang ingin membantu kami, supaya anak kami boleh jalani pembedahan (dan) sihat seperti bayi lain,” tambah Arul.

Jika anda ingin menderma untuk pembedahan Alifa, sila hubungi Yumi Hwang di 016-964 9766 atau e-mel [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.