Ada konspirasi bebas Najib dengan pengampunan, dakwa pemimpin Bersatu

Ada konspirasi bebas Najib dengan pengampunan, dakwa pemimpin Bersatu

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar PH kerana tidak menyatakan pendirian jelas berhubung perkara itu.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa ada konspirasi untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak dari penjara menerusi pengampunan diraja.

Wan Fayhsal berkata, majoriti rakyat tidak mahu melihat Najib dibebaskan dan tidak setuju dengan usaha untuk mempercepatkan pembebasannya.

“Jelas ada konspirasi yang terancang untuk membawa kepada pengampunan Najib,” katanya kepada pemberita di luar IPD Dang Wangi.

Terdahulu, Pemuda Bersatu membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kebocoran maklumat siasatan terhadap Hakim Nazlan Ghazali.

Laporan dibuat Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu, Muhammad Faiz Rahmad mendakwa SPRM membocorkan maklumat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Katanya, maklumat itu yang kemudian didedahkan kepada media memberi tanggapan palsu bahawa Nazlan membuat penghakiman tidak adil dalam menjatuhkan hukuman kepada Najib dalam kes SRC International.

Azalina memberitahu Dewan Rakyat pada 23 Feb, laporan SPRM menyimpulkan Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International. Laporan itu dihantar kepada ketua hakim negara.

Wan Fayhsal juga menyelar Pakatan Harapan (PH) kerana tidak menyatakan pendirian mereka dengan jelas berhubung perkara itu.

“Adakah PH takut kepada Zahid Hamidi (presiden Umno)? Takut kerajaan jatuh sebab tak nak ikut telunjuk umno, sehingga sanggup bermain politik begini?

Beliau juga mengingatkan kerajaan bahawa perbicaraan 1MDB Najib masih berjalan, dan sebarang perbincangan mengenai pengampunan hanya perlu dibuat selepas perbicaraan selesai.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan parti itu memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan diraja kepada Najib.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.