Tiada tindakan terhadap pegawai MBPJ kasari warga emas

Tiada tindakan terhadap pegawai MBPJ kasari warga emas

MBPJ berkata, warga emas itu tidak diserang tetapi alat penangkap anjing terkena mukanya secara tidak sengaja semasa pergelutan berlaku dalam operasi menangkap anjing liar.

Bulan lepas, seorang lelaki warga emas dikatakan dikasari anggota penguat kuasa MBPJ ketika cuba melindungi anjing daripada ditangkap.
PETALING JAYA:
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan tiada tindakan diambil terhadap pegawainya yang didakwa mengasari seorang warga emas semasa operasi menangkap anjing liar.

MBPJ berkata, warga emas itu tidak diserang tetapi alat penangkap anjing terkena mukanya secara tidak sengaja semasa pergelutan berlaku.

Selain daripada menyerahkan kes ini kepada polis untuk disiasat, MBPJ turut menjalankan siasatan dalaman.

“Jawatankuasa siasatan dalaman membuat pengesyoran untuk menambah baik tatacara dan kaedah melaksanakan operasi menangkap anjing liar,” kata MBPJ dalam kenyataan.

Katanya, pada masa akan datang, pegawainya akan menggunakan kamera badan semasa menjalankan operasi bersama polis untuk operasi tahap risiko tinggi.

“Bagi memastikan proses menangkap anjing liar ini lebih telus, MBPJ akan turut menjemput wakil NGO dan persatuan penduduk bersama-sama semasa operasi,” katanya.

Tular menerusi video bulan lepas, seorang lelaki warga emas dikatakan dikasari anggota penguat kuasa MBPJ ketika cuba melindungi anjingnya daripada ditangkap.

Patrick Khoo Kian Wui, 69, dilaporkan mengalami kecederaan selepas secara tidak sengaja dipukul dengan alat yang digunakan untuk menangkap anjing liar.

Kejadian itu didakwa berlaku di Taman Kanagapuram, Petaling Jaya, pada kira-kira 9 malam, 22 Mac.

Warga emas itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Mac kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, dan dia mengaku tidak bersalah.

Khoo didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.