Kerajaan sedang buat libat urus tambah baik bantuan guaman, kata menteri

Kerajaan sedang buat libat urus tambah baik bantuan guaman, kata menteri

Sesi libat urus itu antaranya untuk membincangkan isu dan hala tuju khidmat bantuan guaman, serta mendapatkan input mengenai dasar berkaitan Akta Pembelaan Awam, kata Azalina Othman Said.

Khidmat bantuan guaman sedia ada perlu diperkasa untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan, terutamanya bagi golongan B40, kata Azalina Othman Said. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus bagi memperincikan penambahbaikan khidmat bantuan guaman berkaitan kes jenayah dan cadangan menggubal akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma kepada rakyat.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, libat urus itu antara lainnya adalah untuk membincangkan isu dan hala tuju khidmat bantuan guaman, mendapatkan input mengenai dasar berkaitan penggubalan Akta Pembelaan Awam serta meneliti keperluan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam.

“Sesi libat urus ini diharapkan dapat mengumpul input dan pandangan daripada para peserta mengenai beberapa persoalan dasar berkaitan dengan kesesuaian mewujudkan akta khusus untuk perkhidmatan bantuan guaman bagi kes jenayah di Malaysia.

“Kerajaan Madani amat menitikberatkan libat urus berterusan semua pihak berkepentingan agar (dapat) memastikan sebuah sistem yang efektif dalam memberi perkhidmatan bantuan guaman kepada rakyat Malaysia yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Bengkel Hala Tuju Perkhidmatan Bantuan Guaman Bagi Kes-Kes Jenayah di Malaysia sedang berlangsung bermula hari ini hingga esok dan diadakan dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan serta Majlis Peguam.

Azalina berkata, khidmat bantuan guaman sedia ada perlu diperkasa untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan akses kepada keadilan terutamanya bagi golongan B40.

“Lantas, bantuan guaman dan khidmat nasihat dalam kes jenayah harus mudah diakses oleh mana-mana warganegara Malaysia serta kanak-kanak warganegara asing di peringkat tangkapan, reman, permohonan ikat jamin dan mitigasi oleh peguam,” katanya.

Usaha menggubal sebuah akta khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah telah diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2023 Februari lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.