
Jurucakapnya, Dr Muhammad Yassin berkata kebajikan itu seperti isu jaminan pekerjaan, perkembangan kerjaya dan kelebihan lain yang dinikmati staf kesihatan berstatus tetap agar tidak berat sebelah.
“Kami berpegang teguh dengan keyakinan sekiranya isu ini ditangani dengan baik, kerajaan mampu menarik lebih ramai tenaga kerja profesional berkaitan sektor kesihatan di Malaysia.
“Ia secara tidak langsung mampu memberi jaminan keutuhan dan kejayaan reformasi sistem kesihatan di Malaysia,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Ia adalah satu daripada tiga gesaan dibuat Hartal Doktor Kontrak kepada kerajaan dan KKM.
Dalam pada itu, Muhammad Yassin berkata, Hartal Doktor Kontrak juga mengulangi gesaan memohon penyertaan wakil dari sekretariat menganggotai jawatankuasa peringkat tertinggi yang ditubuhkan oleh pihak kementerian bagi membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.
Beliau percaya dengan penglibatan wakil dari sekretariat Hartal Doktor Kontrak dapat memberi lebih makna dalam perbincangan dengan mewakili suara dasar yang berkepentingan yang dihadapi oleh doktor kontrak.
Sementara itu, Hartal Doktor Kontrak juga menggesa kerajaan agar menyegerakan proses penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan.
“Kami berpegang teguh dengan adanya suruhanjaya ini, dapat menyegerakan lagi langkah memperkasakan kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia secara amnya,” katanya.
Pada 1 Apr, FMT melaporkan Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa antara kementerian melihat isu berkaitan doktor kontrak.
Sebelum ini, ribuan doktor kontrak melancarkan mogok bermula 3 April lalu dengan mengambil cuti sakit atau kecemasan.
Mereka membantah apa disifatkan sebagai sistem tidak adil dan bayaran gaji rendah.
Kumpulan itu juga memberi amaran waktu menunggu lebih lama di klinik kesihatan dan hospital kerajaan sepanjang mogok tersebut.