
Ketua Pegawai PBAPP, K Pathmanathan, berkata paras air Empangan Air Itam berkurang 30.7%, manakala Empangan Teluk Bahang pula menurun 12.7%, sejak 1 Jan.
Sejak Jan, PBAPP merekodkan taburan hujan pada kadar 129mm di Empangan Air Itam dan 251mm di Empangan Teluk Bahang.
Datanya analisis PBAPP 2022, menunjukkan penggunaan air domestik pada Jan adalah 875 juta liter sehari (JLH), dan 944 JLH, pada Feb. Ia sekali gus menyebabkan kapasiti Empangan Air Itam berkurang daripada 82.5% pada 1 Jan kepada 51.8% pada 10 Apr. Selain itu, paras air Empangan Teluk Bahang berkurang daripada 64% kepada 51.3%, pada tempoh sama.
Justeru, sebagai respon kepada senario berkenaan, PBAPP sedang melaksanakan beberapa langkah mengurangkan risiko gangguan bekalan air seperti:
*Mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua);
*Mengepam lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang (melalui 3 set saluran paip berkembar dasar laut) untuk menyokong bekalan air di pulau;
*Meminimumkan pelepasan air mentah dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang seboleh mungkin tanpa menjejaskan perkhidmatan bekalan air;
*Meningkatkan kawalan cuaca kering untuk “mempertahankan” kapasiti efektif dua empangan berkenaan selama mungkin;
*Penjadualan semula kerja paip berjadual untuk meminimumkan pembaziran air.
“Kami ingin memohon kepada semua penduduk Pulau Pinang untuk menggunakan air secara berhemah. Analisis menunjukkan penggunaan air domestik menyumbang 61.5% daripada purata penggunaan harian Pulau Pinang sebanyak 868 juta liter sehari,” kata Pathmanathan.