Elak derma masuk akaun lain, masjid diminta pantau kod QR

Elak derma masuk akaun lain, masjid diminta pantau kod QR

Jakim berkata ini bagi mengelak sumbangan daripada orang ramai tidak terlepas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusof berkata orang ramai juga diminta berhati-hati dan membuat semakan sebelum menyumbang melalui kod QR.
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) meminta ahli jawatankuasa masjid dan surau supaya sentiasa memantau kod QR pada kotak derma di kawasan seliaan masing-masing supaya sumbangan atau infaq yang diberikan orang ramai tidak terlepas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusof berkata orang ramai juga disaran membuat semakan dengan teliti sebelum menyumbang melalui kod QR bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

“Sekiranya merasa curiga dan ragu-ragu dengan kod QR di masjid atau surau, orang ramai disaran membuat aduan kepada pihak masjid atau surau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Jakim mengambil maklum video tular yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa menyalahgunakan kod QR sumbangan derma masjid atau surau dalam kejadian dipercayai berlaku di Indonesia.

Tular di media sosial klip video yang dipercayai berlaku di negara jiran memaparkan seorang lelaki yang menukar kod QR pada kotak derma masjid dengan kod QR untuk ke akaun bank miliknya.

Media melaporkan, polis Indonesia menahan lelaki tersebut dan merampas 50 pelekat kod bar QR palsu untuk menyeleweng dana daripada orang awam di beberapa masjid di Jakarta Selatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.