Umno intai kerusi DUN di Permatang Pauh

Umno intai kerusi DUN di Permatang Pauh

Ketua bahagian Umno kawasan itu beri amaran mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi jika parti itu gagal mendapat lebih daripada dua kerusi yang dimenangi di Pulau Pinang pada PRU14.

Satu daripada tiga kerusi DUN di Permatang Pauh patut diberikan kepada Umno, kata ketua bahagian Zaidi Said. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi Umno Pulau Pinang memberi amaran mengenai rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli sekiranya parti itu gagal berunding untuk mendapatkan lebih banyak kerusi di negeri pimpinan Pakatan Harapan itu pada PRN akan datang.

Ketua Umno Permatang Pauh, Zaidi Said, berkata walaupun PH dan Barisan Nasional yang membentuk kerajaan perpaduan mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14, mereka tidak sepatutnya diletakkan bertanding di kerusi berkenaan sahaja.

“Ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli Umno dan memburukkan lagi retorik perpecahan dalam parti,” katanya kepada FMT.

Pada PRU14, BN hanya menang dua kerusi DUN di Pulau Pinang iaitu di Sungai Dua dan Permatang Berangan.

Zaidi Said.

Zaidi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail, bahawa PH dan BN akan mempertahankan kerusi yang mereka menangi pada PRU14.

Zaidi berkata tiga kerusi DUN dipertandingkan di Permatang Pauh dan satu perlu diberikan kepada Umno untuk ditandingi.

Tiga kawasan itu – Seberang Jaya, Permatang Pasir, dan Penanti – sebelum ini dimenangi PH.

“Daripada tiga kerusi ini, Umno hanya minta satu.

“Ia juga mencerminkan semangat kerajaan perpaduan semasa (jika BN diberi satu kerusi di Permatang Pauh), daripada tiada langsung kerusi untuk BN berbanding tiga untuk PH,” katanya.

Katanya, kira-kira 20,000 pengundi BN yang tegar di tiga kawasan itu mungkin tidak mengundi PH jika BN tidak diberi kerusi.

“Penyokong BN akan hilang keyakinan dan mungkin membuat keputusan untuk tidak mengundi atau memberikan undi protes. Sukar juga untuk menggerakkan jentera jika BN tidak bertanding,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata membenarkan parti mempertahankan kerusi yang mereka menangi pada PRU14 tindakan yang logik dan masuk akal.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan beberapa masalah akan timbul di peringkat akar umbi, khususnya dalam Umno.

“Akan ada sabotaj atau boikot oleh akar umbi, tetapi ia minimum berbanding sabotaj yang mereka hadapi ketika PRU15 oleh ahli mereka kerana kemelut dalaman,” katanya.

Azmi berkata keputusan PRU14 tidak seharusnya menjadi satu-satunya faktor penentu peruntukan kerusi.

Landskap politik berubah sejak PRU14 dan parti perlu mempertimbangkan situasi semasa ketika mengenal pasti kerusi, katanya.

Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu dijangka membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.