Tingkat skim gaji, bukan lanjut tempoh bersara, kata Cuepacs

Tingkat skim gaji, bukan lanjut tempoh bersara, kata Cuepacs

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, gaji permulaan serta kenaikan tahunan yang rendah perlu ditingkatkan pada kadar yang munasabah.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata apabila pekerja menikmati skim gaji lebih baik, simpanan untuk wang persaraan mereka juga akan bertambah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menolak cadangan melanjutkan had umur bersara, sebaliknya menggesa skim gaji pekerja ditambah baik sesuai dengan kos sara hidup semasa.

Presidennya, Adnan Mat, berkata apabila pekerja menikmati skim gaji lebih baik, simpanan untuk wang persaraan mereka juga akan bertambah sekali gus menjamin kehidupan lebih harmoni dan berkualiti selepas persaraan.

Katanya, adalah lebih baik bagi kerajaan mencari jalan dengan cara meningkatkan dan memperkasakan skim gaji daripada menaikkan umur persaraan.

“Apabila skim gaji dinikmati rakyat lebih baik, sudah tentu simpanan untuk persaraan mereka menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau wang pencen akan menjadi lebih baik serta mampu menampung perbelanjaan di hari tua.

“Gaji permulaan serta kenaikan tahunan yang rendah terutama mereka yang bekerja di kumpulan sokongan perlu ditingkatkan pada kadar munasabah,” katanya kepada FMT.

Adnan turut mencadangkan kerajaan memperbanyakan penglibatan pesara dalam badan komuniti atau NGO setempat supaya kepakaran mereka tetap boleh digunakan serta kekal produktif selepas bersara.

“Selain kegiatan komuniti dan NGO, penglibatan pesara dalam aktiviti koperasi juga mampu menyumbang kepada produktiviti negara serta menambahkan pendapatan individu,” katanya.

Adnan mengulas gesaan Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) supaya pekerja diberi pilihan bersara pada usia 60 atau 65 tahun, bagi menamatkan perdebatan mengenai had umur bersara ditetapkan 60 tahun ketika ini.

NGO itu mencadangkan kakitangan sektor swasta yang bergantung kepada caruman KWSP selepas bersara, perlu dibenarkan bekerja lebih lama kerana jangka hayat manusia ketika ini lebih panjang berbanding dahulu.

Penasihat Buruh Antarabangsanya, Callistus Antony D’Angelus, dipetik berkata pendekatan itu wajar memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah krisis sosioekonomi serius terhadap bakal pesara dan pesara, ekoran laporan KWSP baru-baru ini bahawa 51.5% ahlinya bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.