Peruntukan sama rata Ahli Parlimen, TPM sudah bertemu pembangkang untuk bincang

Peruntukan sama rata Ahli Parlimen, TPM sudah bertemu pembangkang untuk bincang

Fadillah Yusof berkata, pembangkang perlu membuat cadangan mereka secara ‘hitam putih’.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata, tiada tempoh masa khusus diberikan kepada pembangkang untuk mengemukakan cadangan mereka.
PETALING JAYA:
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof telah bertemu dengan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, untuk membincangkan peruntukan sama rata bagi Ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, beliau meminta Takiyuddin merangka cadangan supaya rundingan dapat diadakan dalam masa terdekat.

Takiyuddin diminta membuat cadangan itu dalam “hitam putih”, barulah kerajaan akan memulakan rundingan, kata Fadillah.

“Kemudian kita akan lihat dari skop apa kita boleh kerjasama dalam rangka kerja pakatan dua pihak antara kerajaan dan pembangkang,” katanya, lapor The Borneo Post.

“Sama seperti apa yang berlaku dalam kerajaan sebelum ini di mana terdapat MoU,” katanya merujuk kepada memorandum persefahaman yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH), ketika itu pembangkang, dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Fadillah juga berkata tiada tempoh masa diberikan kepada pembangkang untuk mengemukakan cadangan mereka.

PN baru-baru ini menamakan tiga wakil, iaitu Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin; Takiyuddin; dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, yang akan berbincang dengan Fadillah tentang pendanaan bagi Ahli Parlimen pembangkang.

Keputusan untuk mengadakan perbincangan dengan Fadillah itu susulan persetujuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa semua Ahli Parlimen harus menerima pembiayaan sama rata, tanpa mengira kecenderungan politik mereka.

Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, kerajaan sedang merangka beberapa strategi untuk memperkukuh keterjaminan makanan.

Fadillah, yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, kementeriannya bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan melihat “keseluruhan rantai nilai”.

“… maknanya kita kena lihat kepada kualiti benih dan input pertanian, baja, baka, makanan haiwan, dan sebagainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.