Perdaya warga emas RM460,000, bomoh mengaku tak salah

Perdaya warga emas RM460,000, bomoh mengaku tak salah

Tertuduh didakwa memperdayakan mangsa mengenai perkhidmatan spiritual keagamaan.

P Wicknesvaran, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan seorang warga emas berkenaan spiritual keagamaan menyebabkan kerugian RM467,935. Gambar Pexelpic)
KUALA LUMPUR:
Seorang pengamal perubatan tradisional didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdayakan seorang warga emas dengan memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran lebih RM460,000.

P Wicknesvaran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sabariah Othman.

Wicknesvaran didakwa memperdayakan G Kanniason, 60, untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh memberikan perkhidmatan spiritual keagamaan sehingga mangsa membuat pembayaran berjumlah RM467,935 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Yap Kwan Seng, Menara Ampang pada 21 Julai hingga 29 Dis 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.