Belia menganggur meningkat jika umur bersara 65 tahun, kata MEF

Belia menganggur meningkat jika umur bersara 65 tahun, kata MEF

Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia Syed Hussain Syed Husman berkata biar industri tetapkan kadar umur persaraan berdasarkan keperluan mereka.

Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata usia 60 tahun memadai untuk seseorang pekerja bersara supaya pekerja itu boleh diisi golongan muda.
PETALING JAYA:
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menolak cadangan memberi pekerja pilihan untuk bersara pada usia 65 tahun kerana ia akan meningkatkan jumlah belia menganggur.

Presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata usia 60 tahun memadai untuk seseorang pekerja bersara, sementara golongan muda harus diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan itu.

Katanya, melanjutkan tempoh bersara kepada usia 65 tahun hanya akan menyukarkan belia mencari pekerjaan dan pada masa sama menyebabkan negara kekurangan bakat serta sumber tenaga kerja pada masa depan.

“Negara tidak mengalami defisit sumber bakat untuk terus membenarkan pekerja lebih 60 tahun bekerja. Ia tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

“Cadangan membenarkan pekerja lebih 60 tahun bekerja secara tetap, bukannya kontrak seperti sekarang juga tidak wajar, kerana ia adalah hak industri untuk menentukan berdasarkan keperluan mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, majikan tiada masalah untuk membenarkan pekerja berkhidmat lebih lama jika pekerjaan itu memerlukan kepakaran yang mereka ada.

“Ini boleh dilaksanakan berdasarkan persefahaman antara dua belah pihak dan berdasarkan laporan perubatan pekerja,” katanya

Syed Hussain mengulas gesaan Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) supaya pekerja diberi pilihan bersara pada usia 60 atau 65 tahun, bagi menamatkan perdebatan mengenai had umur bersara ditetapkan 60 tahun ketika ini.

NGO itu mencadangkan kakitangan sektor swasta yang bergantung kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara, perlu dibenarkan bekerja lebih lama kerana jangka hayat manusia ketika ini lebih panjang berbanding dahulu.

Penasihat Buruh Antarabangsanya, Callistus Antony D’Angelus, dipetik berkata pendekatan itu wajar memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah krisis sosioekonomi serius terhadap bakal pesara dan pesara, ekoran laporan KWSP baru-baru ini bahawa 51.5% ahlinya bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Sebelum ini, wakil dan pengurus negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia mencadangkan kerajaan meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan status Malaysia sebagai negara yang mungkin mempunyai masyarakat berusia pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beberapa kesatuan pekerja, termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) melihat tiada keperluan mendesak kerajaan meningkatkan had minimum usia persaraan sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.