
Peguam Mohan, Rajesh Nagarajan, memaklumkan Pesuruhjaya Kehakiman Ros Mawar Rozain bahawa anak guamnya tidak berhasrat meneruskan kes selepas menilai semula perkara itu.
Peguam utama Ramasamy, Shamsher Singh Thind turut mengesahkan perkara yang dimaklumkan kepadanya awal pagi tadi.
Ros Mawar kemudiannya membatalkan saman itu tanpa mengeluarkan arahan mengenai kos. Mohan juga tidak dibenarkan memfailkan saman baharu mengenai perkara sama.
Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama lima hari mulai hari ini.
MHS dan Mohan memfailkan saman pada 8 Mac tahun lepas, tetapi pertubuhan keagamaan itu menarik balik tindakannya bulan lepas atas terma yang sama seperti hari ini.
Pemegang jawatan baharu juga telah mengambil alih pengurusan MHS berikutan mesyuarat agung tahunannya bulan lepas.
Saman itu berpunca daripada catatan Facebook Ramasamy yang dibuat pada Januari tahun lepas, sebagai respons terhadap amaran Mohan tentang bahaya “kluster Thaipusam”, terutamanya dengan kemunculan varian Covid-19 baharu, Omicron.