
Kejadian berlaku pada 3.30 pagi tadi dan hanya disedari abang mangsa selepas terdengar bunyi letupan kuat berdekatan rumahnya.
Timbalan Ketua Polis Kuala Terengganu, Wan Mohd Zaki Wan Ismail, berkata mangsa berusia 27 tahun turut cedera di badan akibat kejadian itu.
“Selepas mendengar letupan kuat, abang mangsa berusia 29 tahun pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan dan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
“Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, abang mangsa mendapati adiknya mengalami kecederaan di kedua-dua tangan disyaki akibat letupan mercun diubah suai,” katanya menurut Harian Metro.
Susulan kejadian itu beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Ini adalah kejadian kedua direkodkan di daerah ini akibat bermain mercun selepas empat kanak-kanak mengalami kecederaan akibat letupan mercun yang diubah suai pada 4 April lalu,” katanya.