
Sebuan sekitar 1 tengah hari turut menahan empat warga tempatan termasuk tiga wanita berusia antara 18 hingga 38 tahun.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey, berkata sembilan anggota digerakkan kedua premis tersebut membabitkan sebuah stor simpanan dan premis jualan, disyaki beroperasi sejak tiga tahun lepas.
“Operasi ini adalah hasil risikan dijalankan selama dua minggu oleh pasukan risikan KPDN Selangor dengan kerjasama wakil cap dagangan berdaftar, berhubung aktiviti mencurigakan melibatkan cap dagangan diwakili.
“Berdasarkan rekod tindakan kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019, serbuan itu melibatkan nilai rampasan terbesar tahun ini,” katanya menurut Bernama.
Zuhairi berkata, pihaknya menyita kesemua barangan berkenaan, seterusnya disimpan dan dikawal di bawah pengurusan ekshibit KPDN Selangor sepanjang siasatan berjalan.
“Kes ini akan disiasat mengikut kesalahan Seksyen 102(1)(c), Akta Cap Dagangan 2019 iaitu melibatkan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah Seksyen 100, Akta Cap Dagangan 2019.
“Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) ini, bagi individu ialah denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi pertubuhan atau syarikat denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barang, jika sabit kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta agar pemilik bangunan untuk bertanggungjawab dan berusaha memastikan premis atau lot yang disewakan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 atau mana-mana perundangan yang dikuat kuasa di bawah KPDN.