RM200 bantuan khas Aidilfitri buat pekebun kecil getah

RM200 bantuan khas Aidilfitri buat pekebun kecil getah

Kerajaan menyediakan RM63.75 juta untuk disalurkan kepada 318,642 pekebun kecil getah di bawah Risda.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan dan menceriakan pekebun kecil getah dalam memenuhi keperluan menjelang sambutan Aidilfitri. (Gambar Bernama)
PAPAR:
Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) berjumlah RM63.75 juta kepada 318,642 pekebun kecil getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata, setiap pekebun kecil getah akan menerima RM200 BKKA menerusi penyaluran bantuan melalui kementeriannya dan Risda.

Katanya, bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan dan menceriakan pekebun kecil getah dalam memenuhi keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.

“Bantuan ini akan mula dikreditkan selepas saya mengumumkan perkara ini dan terus dikreditkan ke akaun masing-masing.

“BKKA yang disalurkan ini adalah inisiatif tambahan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim melibatkan 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan Sabah 2023 di Masjid As Salam, Kampung Benoni, semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Ali, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Arifin Arif.

Kenyataan media mengenai pengumuman itu yang diedarkan kepada wartawan pada majlis itu menyatakan bakal penerima BKKA daripada kalangan penerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2022.

“BKKA disasarkan kepada pekebun kecil getah yang mempunyai keluasan kebun di bawah 2.5ha. Pemohon bantuan boleh menyemak status bayaran melalui bmt.risda.gov.my,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.