Polis siasat 2 individu rakam, terbit video pasangan kekasih

Polis siasat 2 individu rakam, terbit video pasangan kekasih

Ketua Polis Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata pihaknya akan mencadangkan dua individu itu didakwa mengikut pertuduhan bersesuaian.

Pasangan kekasih masing-masing berusia 17 dan 22 tahun direman dua hari atas dakwaan terlibat dalam perbuatan seksual dalam kereta.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat dua individu yang disyaki merakam dan menerbitkan video tular melibatkan pasangan yang didakwa berkelakuan tidak senonoh dalam sebuah kereta di Johor.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata siasatan juga meliputi dakwaan perakam video terbabit menyamar sebagai polis semasa mendekati pasangan itu.

“Pihak kami masih dalam siasatan mengenai dakwaan tersebut. Pihak kami juga menjalankan siasatan dari setiap sudut sebelum kertas siasatan dibawa kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan,” katanya menurut Malaysiakini.

Beliau berkata, pihaknya akan mencadangkan mereka didakwa di mahkamah mengikut pertuduhan bersesuaian.

“Perakam video telah diambil keterangan. Kita akan cadangkan (kepada timbalan pendakwa raya) pertuduhan yang sesuai nanti,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse, menggesa polis menyiasat perakam video itu, selain mendakwa pelaku menyamar sebagai polis, termasuk membuat ugutan terhadap pasangan masing-masing berusia 22 dan 17 tahun itu.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 23 saat menunjukkan seorang gadis dan seorang lelaki terlibat dalam perbuatan seksual dalam kereta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.