
Guru agama dan imam lantikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Aris Rami, 53, berkata lebih 800 daripada 1,000 penduduk di pos pedalaman itu beragama Islam.
“Saya dan penduduk kampung menghidupkan bulan Ramadan dengan solat sunat Tarawih dan tadarus al-Quran, selain turut diisi dengan tazkirah bagi tujuan sesi pemantapan rohani dalam kalangan mereka.
“Kelas fardu ain dibuat setiap Jumaat dan Sabtu bersama sesi soal jawab antara saya dan penduduk,” katanya ketika ditemui di Pos Hendrop baru-baru ini.
Aris berkata, beliau berusaha memastikan masyarakat di penempatan itu mendapat bimbingan mendalami ilmu agama dari awal usia, meskipun terpisah daripada masyarakat luar akibat faktor jarak tempat tinggal dan cara hidup.
Katanya, mandat yang dikurniakan kepadanya menjadikan beliau tempat rujukan masyarakat di kawasan terbabit berhubung hal agama.
“Saya mendapat tugas mendidik penduduk orang Asli di Pos Hendrop untuk mereka belajar dan mendalami ilmu agama Islam sejak lebih 20 tahun lalu.
“Pengisian keagamaan dan pembelajaran bertambah menjelang Ramadan kerana pelbagai aktiviti diadakan setiap hari pada bulan ini untuk semua penduduk di sini.”
Aris yang berpegang kepada peribahasa Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya” menetapkan fokus untuk membimbing masyarakat itu daripada kanak-kanak, di samping membantu golongan dewasa lebih mendalami agama.
“Saya bertanggungjawab terus membimbing penduduk di kawasan ini, terutama kanak-kanak supaya mereka mengenal dan membesar mengikut ajaran Islam.
“Saya memastikan kanak-kanak tahu dan mengingati doa dan surah pendek dengan selalu membuat ulang kaji pembelajaran lepas sebelum memulakan sesi baharu. Mereka juga pandai mengaji.”