Siasat perakam video pasangan kekasih, Ahli Parlimen beritahu polis

Siasat perakam video pasangan kekasih, Ahli Parlimen beritahu polis

Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse mendapat maklumat perakam video tidak senonoh itu menyamar sebagai anggota polis.

Pasangan kekasih masing-masing berusia 17 dan 22 tahun direman dua hari bermula semalam atas dakwaan terlibat dalam perbuatan seksual dalam kereta. (Gambar Utusan Malaysia)
PETALING JAYA:
Polis perlu menyiasat perakam video pasangan kekasih yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh, kata Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse.

Beliau menerima maklumat yang mendakwa perakam video itu menyamar sebagai anggota polis selain membuat ugutan terhadap pasangan terbabit.

“Kita juga dimaklum bahawa pihak yang merakam video tersebut menyamar sebagai anggota polis. Pihak perakam juga cuba meminta IC (kad pengenalan) daripada pasangan dan bila mereka enggan mengikut arahan, mereka diugut oleh pihak perakam.

“Mereka (pasangan itu) pun cuba melarikan diri, tetapi dikejar oleh pihak perakam sehingga mereka tiba di Balai Polis Pasir Putih,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau mengakui dari segi moral, apa dibuat pasangan kekasih itu “kurang sesuai”.

Katanya, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun, manakala bawah usia 18 tahun akan dihantar ke sekolah pemulihan.

“Tidak dinafikan apa dilakukan kurang sesuai, tetapi untuk dikenakan hukuman penjara terhadap pasangan tersebut adalah terlalu berat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan guaman secara pro bono juga diberikan kepada pasangan terbabit dan keluarga mereka.

Pasangan dari Johor Bahru itu direman dua hari bermula semalam. Sebelum itu mereka ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Pasir Gudang.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 23 saat menunjukkan seorang gadis dan seorang lelaki terlibat dalam perbuatan seksual dalam kereta.

Sehingga kini, identiti individu yang merakam dan berkongsi video itu masih tidak diketahui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.