
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MKTM) berkata, kementerian bertanggungjawab dan agensinya perlu bekerjasama dalam kempen kesedaran untuk menghalang kanak-kanak dan orang muda menggunakan vape dan peralatan rokok elektronik mengandungi nikotin.
Katanya, pelaksanaan langkah itu penting demi mengekang pendedahan kumpulan itu terhadap nikotin, memandangkan belum ada undang-undang kesihatan signifikan menghalang kesan buruk penggunaan produk terbabit.
Justeru, kerajaan perlu membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dalam bentuk asalnya secepat mungkin.
“Perdana menteri sudah memberikan komitmennya bahawa ia akan dibuat pada sidang Parlimen pada Mei. Kami memohon garis masa ini dipatuhi tanpa sebarang alasan lagi,” katanya dalam kenyataan.
MKTM berkata, RUU perlu disegerakan kerana mengandungi pendekatan menyeluruh bagi vape dan rokok elektronik, termasuk larangan penggunaan produk berkenaan kepada mereka berusia di bawah 18 tahun.
Mengecualikan cecair dan gel nikotin yang digunakan dalam rokok elektronik dan vape, digazet pada 31 Mac, sekali gus mengundang kritikan terhadap Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, yang dilaporkan menggunakan kuasa sebagai menteri mengatasi syor sebulat suara Lembaga Racun terhadap pengecualian itu.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, Zaliha mengakui keputusan kerajaan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun bertujuan mencukai cecair vape “bukan senario ideal” mengambil kira RUU kawal selia penjualan produk rokok belum diluluskan.
MMA berkata, Zaliha juga mengakui bersetuju dengan pengecualian itu dengan “berat hati”.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama MMA, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, selain melibatkan pegawai kementerian, pada Khamis.