Alumni Al-Azhar ‘kubu pertahanan’ akidah umat Islam, kata PM

Alumni Al-Azhar ‘kubu pertahanan’ akidah umat Islam, kata PM

Anwar Ibrahim berkata menjadi tradisi universiti terulung Islam itu menghasilkan ilmuwan yang memberi sumbangan besar bukan hanya kepada Malaysia malah seluruh dunia.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap pada majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pendidikan, kefahaman dan fikrah Islam yang dipelopori oleh alumni Universiti Al-Azhar, Mesir menjadi “kubu pertahanan” akidah umat Islam.

Dalam perutusan video sempena Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia hari ini, beliau berkata menjadi tradisi bagi universiti terulung Islam itu menghasilkan ilmuwan yang memberi sumbangan besar bukan hanya kepada Malaysia malah seluruh dunia.

Perdana menteri berkata justeru, ilmuwan Universiti Al-Azhar diharap dapat terus memperluas dakwah kesedaran dan pengisian ilmu khususnya dalam kalangan masyarakat madani.

“Sebab itu di Seri Perdana, saya menganjurkan majlis dan secara kebetulan sama ada syeikh yang datang dari Al-Azhar ataupun mufti atau ilmuwan yang majoriti besarnya adalah kelulusan atau alumni Al-Azhar,” katanya pada majlis anjuran Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Anwar dilihat sering menganjurkan majlis ilmu di Seri Perdana sejak menyandang jawatan perdana menteri pada November tahun lalu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan WOAG menganjurkan majlis itu dan meluncurkan buku “Memahami Pemikiran Melampau”.

Perdana menteri juga mendoakan agar perjumpaan itu dapat menghasilkan kejayaan yang baik untuk mengangkat martabat umat Islam melalui pencerdasan dan kecelikan budaya berdasarkan kefahaman terhadap Islam.

Program sambutan itu diadakan sempena genap 1,083 tahun penubuhan Universiti Al-Azhar dan sambutan Hari Al-Azhar Sedunia di peringkat global dicetuskan oleh Pejabat Syeikh Al-Azhar di Mesir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.