Zahid yakin kerajaan PH-BN kekal sekurang-kurangnya 3 PRU mendatang

Zahid yakin kerajaan PH-BN kekal sekurang-kurangnya 3 PRU mendatang

Presiden Umno berkata parti itu akan terus berperanan sebagai 'tulang belakang' mendukung pengukuhan kerajaan perpaduan.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yakin gabungan antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan parti lain membentuk kerajaan mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga PRU akan datang.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yakin pembentukan kerajaan bersama Pakatan Harapan-Barisan Nasional kekal bertahan sekurang-kurangnya sehingga tiga pilihan raya umum akan datang.

“Insya-Allah kita (Umno) akan bersama parti komponen lain untuk bergerak bersama sebagai pasukan bagi matlamat memantapkan kerajaan perpaduan.

“Saya yakin ia akan kekal sekurang-kurangnya tiga PRU diadakan. BN akan teruskan semangat ‘tulang belakang’ bagi mendukung pengukuhan kerajaan ini,” kata presiden Umno itu ketika Majlis Berbuka Puasa Umno di Pusat Dagangan Dunia.

Tambahnya, beliau amat menghargai jasa rakan parti komponen lain yang turut berperanan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan Anwar dianggotai BN, Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, serta Ahli Parlimen bebas.

Dalam pada itu, Zahid berkata, mesyuarat MKT menetapkan secara rasmi Perhimpunan Agung Umno tahun ini diadakan, iaitu mulai 7 hingga 10 Jun.

“Kita buat perhimpunan agung agak awal, selepas itu kita akan pergi berkempen dan menggerakkan jentera parti di negeri-negeri yang bakal mengadakan pilihan raya umum (PRN) nanti,” katanya.

PRN akan melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.