
Katanya, terdapat perbezaan antara “pemimpin tidak boleh tanya soalan” dan “pemimpin tidak tanya soalan”.
Beliau berkata, menurut konvensyen Parlimen, jika ketua pembangkang bangun dan meminta untuk bersuara atau bertanya soalan tambahan, beliau akan diberikan keutamaan, begitu juga pemimpin kanan parti.
“Tetapi, apabila anda tiada di dalam Dewan (Rakyat), pasti anda tidak berpeluang bertanya soalan tambahan, tidak kira betapa ‘senior’ anda. Logik mudah,” katanya dalam catatan Facebook.
Wong mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berhubung pemimpin PN tidak boleh bertanya soalan kepada perdana menteri dengan berkesan, walaupun mereka menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Katanya, ketidakhadiran tiga pemimpin tertinggi PN di Parlimen boleh dipertikai kerana kebanyakan rakyat tidak memahami prosedur Parlimen, khasnya ketika sesi soal jawab perdana menteri (PMQT).
Wong turut mempersoalkan sama ada tiga pemimpin tertinggi PN itu mengemukakan sebarang soalan, kerana tiada soalan perlu dijawab jika tiada yang dikemukakan.
Walaupun tiada soalan dikemukakan, katanya, Ahli Parlimen masih berpeluang bertanya soalan tambahan, jika dibenarkan Speaker Dewan Rakyat.
Selasa lepas, Wan Saiful Wan Jan daripada Bersatu menepis kritikan terhadap PN berhubung ketidakhadiran tiga pemimpin tertingginya di Parlimen ketika PMQT dengan berkata, proses itu perlu ditambah baik.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, ketua pembangkang dan pemimpin parti dalam gabungan itu tidak dapat mengambil bahagian secara bermakna dalam sesi itu dalam bentuk semasa kerana hanya Ahli Parlimen yang dipanggil Speaker boleh bertanya soalan ketika PMQT.
Katanya, Speaker hanya membenarkan satu soalan tambahan dikemukakan, daripada Ahli Parlimen yang bertanya soalan asal, dan tiada soalan tambahan daripada pembangkang.
Wan Saiful berkata demikian selepas Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membidas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana tidak hadir ketika PMQT pada Selasa lepas.