Menteri pertahan pelantikan eksekutif Gamuda ketuai Suruhanjaya Tenaga

Menteri pertahan pelantikan eksekutif Gamuda ketuai Suruhanjaya Tenaga

Nik Nazmi Nik Ahmad menjawab kebimbangan mengenai pelantikan Rashdan Yusof, memandangkan Gamuda Berhad terlibat dalam industri tenaga boleh baharu.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pelantikan Rashdan Yusof mengetuai Suruhanjaya Tenaga adalah untuk merombak pendekatan terhadap peralihan tenaga.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan pelantikan seorang eksekutif kanan Gamuda Berhad sebagai pengerusi baharu Suruhanjaya Tenaga.

Nik Nazmi berkata, pelantikan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Rashdan Yusof mengetuai suruhanjaya itu adalah untuk merombak pendekatan pengawal selia terhadap peralihan tenaga.

“Saya mahu Rashdan rombak (pendekatan). Saya perlu Suruhanjaya Tenaga yang boleh berfungsi. Banyak yang melobi, tetapi saya tahu urusan tidak boleh berjalan seperti biasa. Tidak boleh lebih kurang serupa sahaja,” katanya dalam wawancara bersama The Edge.

Beliau menjawab kebimbangan mengenai pelantikan Rashdan ke jawatan itu, memandangkan Gamuda Berhad terlibat dalam industri tenaga boleh baharu.

Nik Nazmi berkata, tenaga bukan perniagaan teras Gamuda; syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) juga memiliki kepentingan besar dalam entiti senaraian, termasuk Permodalan Nasional Bhd (16.5%), KWSP (14.5%) dan KWAP (5.3%).

Beliau juga berkata, terdapat perundangan persekutuan yang “menyediakan peruntukan jelas” bagi contoh konflik kepentingan dan cara untuk menanganinya, memetik Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 sebagai contoh, yang mensyaratkan anggota suruhanjaya mengisytiharkan kepentingan mereka.

Beliau berkata, Rashdan, yang masih memegang jawatannya di Gamuda, mengambil “langkah lebih jauh” dengan memilih untuk menarik diri daripada situasi yang dianggap berkonflik.

“Bertentangan dengan amalan sebelum ini, pengerusi tidak menganggotai jawatankuasa kecil utama; beliau hanya menganggotai jawatankuasa kecil ekonomi dan strategik, yang sangat makro,” katanya.

“Saya tidak kata tiada konflik. Akta meramalkan bahawa akan ada situasi seperti ini, dan mereka mempunyai remedi atau perlindungan untuknya. Ini agak tipikal bagi mana-mana struktur korporat,” katanya.

Nik Nazmi juga berkata, pelantikan lembaga pengarah Suruhanjaya Tenaga disemak oleh Pejabat Perdana Menteri.

Beliau berkata, Rashdan mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat serta projek berkaitan kerajaan dan mempunyai idea yang jelas untuk menyokong visi dan sasaran kerajaan.

Pada Rabu, FMT melaporkan bahawa pelantikan Rashdan sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga yang baharu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan anti-rasuah dan ketelusan, serta pemain industri dan perniagaan, atas isu konflik kepentingan dan ia tidak akan meningkatkan keyakinan pelabur.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, Putrajaya mesti menjelaskan proses pemilihan berhubung pelantikan Rashdan secara telus, manakala Transparency International Malaysia menggesa Rashdan menolak jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.