
Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata siswazah berminat boleh membuat permohonan mengisi kekosongan itu terutamanya dalam empat mata pelajaran kritikal iaitu Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Pendidikan Islam.
“Para graduan sama ada daripada bidang pendidikan atau bukan pendidikan juga boleh membuat permohonan sekiranya berminat menjadi guru atau guru sementara.
“Mereka boleh membuat permohonan melalui laman web dan kita harap pengambilan ini boleh mengatasi kekurangan guru di seluruh negara terutama dalam mata pelajaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Tahun 2023 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy.
Tiada tarikh tutup ditetapkan buat masa ini dan mereka yang pernah memohon tetapi tidak berjaya boleh mengemukakan semula permohonan mengikut opsyen mata pelajaran diperlukan Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM dilaporkan kekurangan guru kira-kira 4.49% atau 19,431 orang berikutan persaraan wajib, persaraan pilihan, kenaikan pangkat, cuti belajar, cuti tanpa gaji, meletak jawatan, dan meninggal dunia.