Ibu mangsa buli menang saman terhadap sekolah, guru besar

Ibu mangsa buli menang saman terhadap sekolah, guru besar

Ahli perniagaan, Yong Oi Ling mendakwa sekolah antarabangsa itu tidak mengambil tindakan terhadap pembuli, dakwaan yang dinafikan institusi terbabit.

Seorang ibu mendakwa anak perempuannya berusia empat tahun dibuli beberapa kali di prasekolahnya. (Gambar fail)
GEORGE TOWN:
Seorang wanita menang saman terhadap sebuah sekolah antarabangsa dan guru besarnya, selepas anak perempuannya berusia empat tahun dibuli sebanyak lima kali pada 2018, dengan satu kejadian menyebabkan hidungnya berdarah.

Mahkamah Sesyen mendapati sekolah itu cuai kerana gagal mengambil tindakan sewajarnya susulan kejadian itu dan melanggar tanggungjawab menyediakan persekitaran selamat.

Ahli perniagaan, Yong Oi Ling, 40, menyaman Sekolah Antarabangsa Dalat dan guru besarnya, Shantel Seevaratnam pada 2018, selepas anaknya berulang kali diejek dan diserang rakan pra-sekolahnya.

Sekolah itu bagaimanapun tidak mempedulikan aduan buli dan mengatakan mereka yang terbabit sudah dihukum.

Peguam John Khoo yang mewakili Yong berkata, mahkamah mendapati sekolah terbabit gagal membangkitkan perkara itu dengan sebuah pasukan dipertanggungjawabkan untuk menangani isu buli dan disiplin lain.

“Hakim Mahkamah Sesyen, Nasir Nordin membuat keputusan memihak kepada kami, selepas mendapati sekolah itu cuai dan melanggar tanggungjawabnya untuk menyediakan persekitaran selamat buat kanak-kanak itu.

“Mahkamah mengambil maklum kegagalan sekolah itu merujuk lima kejadian kepada pasukan keselamatan, seperti digariskan dalam garis panduan sekolah terbabit,” katanya kepada FMT.

Khoo berkata, mahkamah memerintahkan ganti rugi dan kos kepada plaintif, tetapi beliau tidak mendedahkan jumlahnya.

Menurut pernyataan tuntutan Yong, mangsa didera dan dibuli rakan sekelasnya pada 2018, bahkan diserang seorang rakan sekelas yang menyebabkannya hidung berdarah.

Yong berkata, selepas menulis aduan kepada kaunselor sekolah, tiada maklum balas diterimanya, tetapi hanya menerima sepucuk e-mel daripada guru besar mendakwanya menegur ibu bapa tiga kanak-kanak lelaki yang memukul anak perempuannya.

Katanya, sekolah itu kemudian menghantar e-mel kepadanya memintanya “mempertimbangkan sama ada sekolah kami sesuai untuk keluarga anda” dan mendakwa wanita itu “mengganggu masyarakat aman”.

Kenyataan itu menyusul selepas Yong bersemuka dengan ibu bapa rakan sekelas anak perempuannya yang didakwa memukulnya.

Sekolah itu, dalam pernyataan pembelaan, menafikan mereka mengabaikan aduan buli dan berkata, mereka yang menyerang mangsa dihukum segera dan ibu bapa mereka dimaklumkan.

Ia mengakui berlaku kejadian buli, termasuk satu kejadian di mana mangsa diserang kerana mengambil kepingan susun suai gambar rakan sekelasnya. Dalam satu lagi kejadian, mangsa didekati seorang rakan sekelasnya yang sedang bermain kereta mainan.

Tetapi, sekolah itu menafikan hidung berdarah itu akibat kejadian yang berlaku di sekolah, selain mendakwa ia menangani semua kejadian buli secukupnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.