Hakim tarik diri dengar permohonan MAIPs jadi pencelah

Hakim tarik diri dengar permohonan MAIPs jadi pencelah

MAIPs menghantar surat kepada Hakim Evrol Mariette Peters untuk mendapat kebenaran menjadi pencelah terhadap hak jagaan tiga anak Loh Siew Hong.

Hakim baharu mendengar permohonan MAIPs menjadi pencelah akan diketahui, pada 19 Apr.
PETALING JAYA:
Hakim Evrol Mariette Peters menarik diri mendengar permohonan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk menjadi pencelah berhubung hak penjagaan tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang dikatakan beragama Islam.

Peguam Loh, Gunamalar Joorindanjn, berkata Peters telah memaklumkan keputusannya ketika pengurusan kes dalam talian, hari ini.

“Beliau memaklumkan kepada kami bahawa penarikan diri akan dimaklumkan kepada hakim pengurusan (yang bertanggungjawab ke atas Mahkamah Sivil di Kuala Lumpur),” kata Gunamalar kepada FMT.

MAIPs menghantar surat kepada hakim dua minggu lalu, untuk mendapat kebenaran menjadi pencelah berhubung perkara itu.

Menurut Bernama, MAIPs memohon Peters agar menarik diri kerana beliau selaku hakim pada 15 Jun tahun lalu telah menolak permohonan MAIPs untuk mencelah selepas mendapati MAIPs gagal menunjukkan bahawa majlis itu adalah pihak berkepentingan terhadap kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, pada 7 Feb, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan membenarkan MAIPs mencelah dalam prosiding penceraian Loh, sekali gus membuka jalan kepada majlis itu untuk memohon mengubah perintah jagaan terhadap tiga beradik berkenaan.

Menerusi surat itu, MAIPs mendakwa hakim tersebut telah terkhilaf dalam keputusannya dengan menyentuh merit isu status agama anak-anak itu dan permohonan untuk mengubah perintah penjagaan.

MAIPs mendakwa perkara itu memerlukan hakim yang berbeza untuk mendengar permohonan tersebut.

Bagaimanapun, Peters akan mendengar permohonan Loh untuk menangguhkan prosiding perubahan, sementara menunggu keputusan permohonannya bagi kebenaran rayuan di Mahkamah Persekutuan, dijadual pada 6 Jul.

Loh kemudian membuat permohonan ke mahkamah tertinggi selepas Mahkamah Rayuan membenarkan MAIPs campur tangan dalam permohonan untuk mengubah perintah penjagaan, pada 7 Feb.

Pada 15 Jun, Peters menolak permohonan MAIPs untuk mendapatkan kebenaran menjadi pencelah.

Gunamalar berkata, Peters telah menetapkan pengurusan kes pada 19 Apr untuk menguruskan permohonan penangguhan itu.

“Pada hari itu, kita juga akan mengetahui siapa yang akan menjadi hakim baharu untuk mendengar permohonan variasi perintah jagaan,” katanya.

Peguam Haniff Khatri dan Danial Farhan mewakili MAIPs.

Bekas suami Loh, Muhammad Nagahswaran Muniandy, dikatakan telah membawa anak-anak itu ke Perlis, di mana dia mengislamkan mereka secara sebelah pihak, pada 7 Jul 2020.

Kembar perempuan berusia 15 tahun dan seorang anak lelaki berusia 11 tahun itu diletakkan di bawah jagaan dan pemantauan pendakwah, Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Pada 31 Mac 2020, Mahkamah Tinggi memberikan hak penjagaan penuh kepada Loh terhadap anak-anak itu, dan perceraiannya dengan Nagahswaran dimuktamadkan pada 23 Sept 2021.

Loh juga mengeluarkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi, kemudian dibenarkan oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah, pada Februari tahun lalu.

Keputusan itu memberi laluan kepada empat beranak itu bertemu semula.

Pada Mac 2022, Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama secara sebelah pihak dan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur akan menyampaikan keputusannya pada 11 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.