Disyaki terima suapan RM600,000, CEO perbadanan kerajaan ditahan

Disyaki terima suapan RM600,000, CEO perbadanan kerajaan ditahan

Pegawai berusia 52 tahun itu dipercayai menerima rasuah sebagai dorongan mendapatkan tender berkaitan sistem mekanikal dan elektrikal.

Tiga suspek termasuk ketua pegawai eksekutif sebuah perbadanan berkaitan kerajaan yang disyaki menerima rasuah RM600,000 dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapat perintah reman. (Gambar SPRM)
PETALING JAYA:
Ketua pegawai eksekutif sebuah perbadanan berkaitan kerajaan ditahan dipercayai meminta dan menerima suapan RM600,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapat tender kerja menaik taraf sistem.

Sumber berkata, pegawai berusia 52 tahun itu menerima suapan itu melalui dua lagi suspek yang turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika mereka hadir memberikan keterangan, semalam.

Menurutnya, suapan terbabit bagi membantu membantu sebuah syarikat mendapat tender berkaitan sistem mekanikal dan elektrikal yang termasuk dalam sebahagian projek bernilai RM15 juta, bertujuan menaik taraf sebuah bangunan ibu pejabat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman dan Majistret Irza Zulaikha mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 10 Apr,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Tan Kang Sai, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.