
Pihak berkepentingan merangkap Pengerusi Penduduk Membantah PJD Link (ScRAP), David Yoong, berkata lebuh raya sepanjang 25.4km raya hanya memberi manfaat kepada mereka melakukan perjalanan dari Bandar Utama dan Kinrara dan bukannya penduduk antara kedua-dua kawasan itu.
“Lebuh raya itu luas dari segi ruang dan akan mempunyai satu susur masuk dan susur keluar yang akan menyempitkan laluan ke lebuh raya sedia ada dan jalan tempatan.
“Ia menjadi lebih teruk kerana susur ini dibina di atas laluan sedia ada, dan akan mengganggu lalu lintas terutama di laluan laju sedia ada,” kata Yoong, seorang jurutera awam.
Beliau mengulas laporan FMT di mana seorang penganalisis pengangkutan berkata, kombinasi penggunaan bas mini dan laluan penyuraian trafik seperti PJD Link boleh membantu mengurangkan kesesakan di kawasan itu.

Yoong mendakwa PJD Link tidak mempunyai sebarang susur keluar yang terus menghubungkan orang ramai ke stesen transit sedia ada.
Bagaimanapun, menurut laman web PJD Link, terdapat pelbagai susur keluar dan hab sambungan ke lokasi transit pengangkutan awam termasuk stesen bas, MRT, LRT dan KTM.
Yoong meminta kajian “menyeluruh” mengenai masalah trafik Petaling Jaya, dengan mengatakan data diperlukan untuk mencari penyelesaian yang optimum.
“Punca kesesakan di kawasan tertentu terutama pada waktu puncak seperti Jalan Templer dan Jalan Gasing boleh dikurangkan sekiranya jejambat pendek atau terowong dibina untuk terus ke Lebuhraya Pantai Baharu sebelum tiba ke selatan PJ dan Puchong,” katanya.

Sementara itu, David Foo, penduduk Seksyen 12, berkata beliau percaya kesesakan boleh dikurangkan dengan pembinaan lebih banyak susur masuk dan keluar ke lebuh raya LDP.
“Masalah utama LDP adalah halangan untuk masuk dan keluar lebuh raya,” katanya kepada FMT, sambil menambah banyak susur membantu memastikan peralihan lebih lancar.
Beliau mendakwa PJD Link juga akan menyaksikan lebih ramai pengguna jalan raya melalui Petaling Jaya, dengan menyumbang kepada kesan pelepasan karbon lebih tinggi di kawasan itu.

Mak Khuin Weng, bekas ahli majlis Petaling Jaya, berkata punca kesesakan lalu lintas kawasan itu adalah disebabkan oleh pembinaan bangunan tinggi yang berterusan.
“Bagaimanakah lebuh raya bertingkat boleh mengurangkan lalu lintas disebabkan oleh banyak bangunan tinggi baharu yang dibina tanpa perancangan?
“Kita berterusan membenarkan pembinaan bangunan ini, tetapi sistem jalan raya kita tetap sama dan tidak boleh diubah disebabkan ruang yang terhad,” katanya.