Pindaan Auku dijangka bentang tahun ini, kata menteri

Pindaan Auku dijangka bentang tahun ini, kata menteri

Khaled Nordin berkata draf pindaan Auku akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pertengahan Jun ini untuk diluluskan.

Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata pindaan itu membolehkan mahasiswa mendapat kebebasan sepenuhnya untuk beraktiviti di dalam dan luar kampus.
PUTRAJAYA:
Pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin.

Beliau berkata draf pindaan akta itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara terlebih dahulu pada pertengahan Jun, untuk kelulusan sebelum diangkat ke proses seterusnya.

“Kita cuba tahun ini juga (bentangkan di Parlimen) sebab kita kena melalui proses … kita kena pastikan draf pindaan dipersetujui Pejabat Peguam Negara dan kemudian dihantar ke Jemaah Menteri. Pada masa sama kita perlu dapatkan input kementerian lain,” katanya pada sidang media selepas sesi townhall Auku bersama mahasiswa dan warga instituti pengajian tinggi.

“KPT sudah kenal pasti seksyen-seksyennya dan sedang dimurnikan ayat-ayatnya. Pertengahan Jun (draf pindaan Auku) akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara.”

Khaled berkata, pindaan itu membolehkan mahasiswa mendapat kebebasan sepenuhnya untuk beraktiviti di dalam dan luar kampus, yang sebelum ini terhad kepada kelulusan pihak universiti.

Dalam sesi townhall bersama warga IPT, beliau berkata terdapat tiga pandangan berbeza berkenaan Auku iaitu akta berkenaan dikekalkan dengan beberapa pindaan dan penambahbaikan; dikekalkan dengan pindaan dan ditukar nama baharu; serta digantikan sepenuhnya dengan satu akta baharu.

“Bagaimanapun, selepas meneliti sebahagian besar pandangan, lebih kepada mahu melakukan pindaan.”

Khaled berkata, antara pindaan itu melibatkan Seksyen 15 dan 16 iaitu memberi kebebasan kepada mahasiswa berpolitik termasuk menjadi ahli serta calon kepada parti politik.

Pindaan itu juga membolehkan mahasiswa diberi tanggungjawab penuh berkait gerakan di IPT selain menguruskan kewangan mereka sendiri.

Namun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada wakil kesatuan pelajar untuk berbincang dengan pengurusan universiti masing-masing mengenai garis panduan berpolitik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.