
Ketua Polis Meradong, Sekam Anoi, berkata mangsa maut berusia 37 tahun manakala rakannya 27 tahun masih dirawat di Hospital Sarikei.
Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 6.03 petang dan suspek masing-masing berusia 38 dan 65 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek ditahan selepas mereka tampil ke Balai Polis Meradong pada hari sama untuk membuat laporan berhubung kehilangan empat besi bersaiz 40 kaki panjang dan 12 kaki lebar.
“Siasatan dijalankan ke atas dua suspek itu membongkar perbuatan mereka dikaitkan dengan kes pembunuhan berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.
Jelasnya lagi, suspek dipercayai melepaskan tembakan pada jarak lebih kurang 300 meter dari rumah mereka.
“Salah seorang mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Seorang lagi rakan mereka berusia 32 tahun yang turut berada di lokasi ketika kejadian tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Justeru, Sekam berkata, polis turut merampas senapang patah jenis Baretta dan beberapa peluru penabur dipercayai digunakan suspek untuk menembak mangsa.
Katanya, kedua-dua mereka akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.