
Beliau juga berkata, keputusan mendedahkan maklumat sedemikian di Dewan Rakyat adalah bermotifkan politik dan ada agenda tersembunyi.
“Ia digunakan sebagai sasaran tembakan di Parlimen (terhadap saya).
“Isu tanah rizab Melayu ini bertujuan memburukkan kerajaan Kedah dan menjadikan kita seolah-olah mengabaikan kepentingan tanah rizab Melayu sehingga hilang 5,100 hektar dan tidak diganti sedangkan ia tak berlaku,” katanya kepada pemberita.
Pada 29 Mac, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Dewan Rakyat saiz tanah rizab Melayu di Kedah, Perak, dan Kuala Lumpur berkurangan tahun lalu.
Katanya, tanah rizab Melayu di Kedah menurun daripada 721,888.93 hektar pada 2021 kepada 716,537.28 hektar tahun lalu.
Nik Nazmi bagaimanapun tetap mempertahankan kenyataan itu dan berkata, data itu disediakan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), yang mengumpul data tahunan tanah rizab Melayu daripada kerajaan negeri.
Sanusi sekali lagi mengulangi data 90 tahun tanah rizab bermula dari 1933 hingga Januari tahun ini dan menegaskan Nik Nazmi membuat kesilapan.
Beliau juga berkata, dari 1991 hingga 2023, 4,751.3 hektar tanah telah dikeluarkan daripada rizab Melayu, tetapi digantikan dengan 5,160 hektar.