Bekas pemain bola sepak kebangsaan Azhar Sharif meninggal dunia

Bekas pemain bola sepak kebangsaan Azhar Sharif meninggal dunia

Pemain seangkatan Allahyarham Mokhtar Dahari itu pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 1986.

Azhar Sharif menderita penyakit angin ahmar dan mengalami komplikasi jantung.
KUALA LUMPUR:
Bekas pemain bola sepak kebangsaan era 80-an Azhar Sharif meninggal dunia di Hospital Selayang pada 4.30 pagi tadi.

Berita pemergian bekas pemain tengah berusia 58 tahun itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook rasminya.

“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” menurut FAM.

Sementara itu, rakan kepada legenda negara itu, Zulkifli Mohamad ketika dihubungi memaklumkan Azhar, sebelum ini menderita penyakit angin ahmar selain mengalami komplikasi jantung.

“Allahyarham turut mengadu mengalami gangguan pernafasan hingga terpaksa menggunakan mesin bantuan oksigen di hospital tersebut,” katanya.

Zulkifli berkata jenazah Azhar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh, Selangor.

Pemain yang seangkatan dengan Allahyarham Mokhtar Dahari itu pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 1986, selain pernah beraksi di Sukan Asia Seoul 1986 di Korea Selatan.

Allahyarham turut memainkan peranan penting dalam pasukan Selangor apabila menjaringkan gol ketika final Piala Malaysia 1984 dan 1986 untuk membantu skuad Red Giants muncul juara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.